16 Jan

Penduduk tidak selesa lokasi pasar malam dekat rumah

Saudara Pengarang,
TUJUAN saya menyertai ruangan Forum ini adalah untuk mendedahkan sikap tidak ambil peduli oleh pihak-pihak tertentu mengenai kebersihan sekitar dan kebajikan penghuni rumah berhampiran pasar malam diadakan yang diadakan.

Pada hari Sabtu baru-baru ini, saya berkunjung ke rumah saudara saya yang tinggal di Bandar Baru Puncak Alam.

Saya kemudiannya diajak ke pasar malam di Fasa 3 untuk membeli sedikit juadah makan malam.

Saya terpegun melihat sam-butan pasar malam yang sangat memberangsangkan daripada para penduduk berhampiran.

Mungkin kedudukan kedai-kedai yang jauh untuk mendapatkan barang keperluan harian menyebabkan pasar malam di situ memang dinanti-nantikan oleh penduduk.

Kemusykilannya adalah kedudukan pasar malam berkenaan yang diadakan di atas jalan raya (Jalan 12/28) terlalu hampir dengan rumah-rumah kediaman yang banyaknya masih belum berpenghuni.

Adakah kerana rumah-rumah tersebut masih banyak yang belum didiami maka lokasi pasar malam boleh diadakan di mana-mana atau sewenang-wenangnya? Saya pasti rumah-rumah berkenaan telah ada tuannya.

Keadaan trafik di jalan-jalan terlibat memang sibuk tatkala itu. Tentunya keselamatan, keselesaan dan ketenangan penghuni rumah-rumah berhampiran terganggu.

Kenderaan penghuni tetap di situ menghadapi kesukaran keluar masuk rumah masing-masing. Ini tidak termasuk sampah sarap dan bau yang terhasil daripada pasar malam tersebut.

Lihat sahaja sampah-sampah yang ditinggalkan di dalam longkang menyebabkan longkang besar tersumbat.

Bungkusan sampah-sampah makanan dan minuman juga disangkut sewenang-wenangnya atas pagar oleh mereka yang tidak bertanggungjawab di rumah-rumah yang kosong itu.

Sampah-sampah terbiar tanpa dibersihkan dengan teliti oleh pihak berwajib. Air basuhan dan limpahan ayam, ikan, daging yang mengalir ke dalam longkang yang tersumbat menghasilkan bau yang amat busuk.

Taraf sah gerai-gerai dan taraf sah permit kerja pembantu-pembantu gerai juga diragui. Saya pasti banyak gerai tidak mempunyai lesen berniaga dan tidak mematuhi peraturan berniaga.

Rata-rata peniaga pasar malam menggunakan generator dalam menerangi gerai masing-masing. Tidak ketinggalan juga peniaga-peniaga yang menggunakan gas untuk memasak jualan mereka.

Tidakkah pihak bertanggungjawab memikirkan kebajikan penghuni rumah-rumah berdekatan sekiranya terdapat kebakaran atau letupan generator dan tong-tong gas peniaga-peniaga?

Siapakah yang akan dipersalahkan sekiranya perkara-perkara yang tidak diingini itu berlaku?

Sekiranya pasar malam ini dianjurkan oleh Majlis Daerah Kuala Selangor dan pihak Puncak Alam, seharusnya kawalan dan penyelenggaraan pasar malam perlu mantap supaya semua pihak berpuas hati.

Seperti mana yang saya nyatakan penduduk memang memerlukan pasar malam.

Tetapi lokasi pasar malam mestilah bersesuaian supaya tidak menyusahkan segelintir pihak yang dipaksa berkorban menanggung ketidakselesaan demi orang lain. – INSAN PEKA, Shah Alam, Selangor.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: